Janganlah Perlekehkan Bahasa Sendiri
Oleh Hasan Baseri Budiman
Usaha pihak tertentu untuk menghidupkan  kembali dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam  Bahasa Inggeris (PPSMI) memperlihatkan tahap kecintaan dan semangat  patriotik golongan ini terhadap bahasa kebangsaan kita yang sangat  mengecewakan. Sejak Malaysia mula mengecap kemerdekaannya pada tahun  1957, pelbagai usaha telah dilakukan oleh para pemimpin ketika itu untuk  menjamin kesejahteraan Negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat ini  terus didaulatkan.
Usaha terbesar yang telah dilaksanakan  ke arah pembentukan identiti bangsa Malaysia ini, antaranya termasuklah  memperkasakan dasar bahasanya, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai  bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Aspek bahasa ini kemudiannya  telah dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152  untuk menjamin bahasa Melayu agar terus dipelihara sampai bila-bila.
Serentak dengan itu, bahasa Melayu juga  telah dipilih sebagai bahasa pengantar di sekolah, sesuai dengan  sifatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu negara, seperti  yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1956/1961, yang antaranya  menyatakan:
Bahawasanya dasar pelajaran yang  diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 adalah untuk menubuhkan satu  sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan  menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Bahawasanya adalah difikirkan perlu  bahawa setakat yang sejajar dengan dasar itu, dengan mengadakan  pelajaran yang cekap dan dengan mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak  berpatutan, perhatian hendaklah mendidik mengikut kemahuan-kemahuan ibu  bapa mereka.
Bahawasanya peruntukan selanjutnya  adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan  secara berkesan, termasuklah peruntukan bagi perkembangan yang progresif  bagi suatu sistem pelajaran dalam mana bahasa kebangsaan adalah menjadi  bahasa pengantar utama.
Setelah sekian lama negara bergerak  menyusuri kemerdekaannya, proses untuk merealisasikan bahasa Melayu  sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan berasaskan Penyata Razak  1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, seperti yang termaktub dalam Akta  Pelajaran 1961 itu, rupa-rupanya masih terhalang oleh sikap waswas  masyarakatnya sendiri. Kelicinan laluan bahasa Melayu ke arah  peningkatannya untuk menjadi bahasa yang diterima dan diamalkan oleh  semua penduduk negara masih ada ranjaunya.
Selepas hampir 55 tahun Malaysia  merdeka, bahasa Melayu terbukti wajar menjadi bahasa kebangsaan dan  bahasa rasmi negara. Namun, tiba-tiba pada tahun 2003, kedudukannya  sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara  tergugat. Sejak itu, bahasa Melayu terpaksa berhadapan dengan pelbagai  cabaran yang ditimbulkan pihak yang masih menginginkan bahasa Inggeris  terus diberikan kedudukan yang lebih baik.
Memang tidak dinafikan bahawa bahasa  Inggeris ialah bahasa ilmu kerana kebanyakan bahan yang bersifat  keilmuan tertulis dalam bahasa tersebut. Walau bagaimanapun, kita  sepatutnya tidak terlalu cepat melatah kerana mencari ilmu itu tidak  semestinya dalam timbunan buku bahasa Inggeris sahaja. Bahasa lain juga  banyak digunakan untuk penyebaran ilmu. Sebaiknya, ilmu dalam bahasa  Inggeris itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebanyak mungkin  supaya pelajar di negara ini senang memperolehnya. Orang Barat sendiri  pun turut menterjemahkan ilmu daripada al-Quran ke dalam bahasa mereka.  Orang Jepun dan Korea pula telah menterjemahkan buku berbahasa Inggeris  ke dalam bahasa mereka. Memanglah bukan kerja yang mudah untuk melakukan  semua itu, tetapi “kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu  dalih”.
Apa-apa pun, dalam keakuran kita  terhadap keperluan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, kita tidak  semestinya mengangkat bahasa itu sewenang-wenangnya ke puncak dan  membenamkan bahasa Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun turut menjadi  bahasa ilmu. Usaha pihak tertentu untuk menghidupkan kembali PPSMI harus  difikirkan dengan sedalam-dalamnya kerana kita tidak boleh terlalu  yakin bahawa masalah pengilmuan di negara kita akan meningkat apabila  Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.
Ketebalan rasa “tinggi darjat” apabila  dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik telah memaksa golongan  tertentu terus mengutamakan bahasa Inggeris, terutamanya dalam dunia  korporat dan komersial. Keadaan ini akan menjadi bertambah buruk apabila  semakin banyak orang yang terikut-ikut cara mereka.
Sedikit sebanyak permasalahan itu  berpunca daripada kesan psikologi penjajahan yang elitis sifatnya serta  pengaruh daripada latar belakang pendidikan yang diterima daripada  pelbagai aliran yang berdasarkan ras masyarakat setempat. Bahasa Melayu  yang cuba membina kedudukannya sebagai bahasa ilmu masih dalam proses  perkembangan dan pemantapan melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan 1957 yang  menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan sepenuhnya dilaksanakan  sejak tahun 1970.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.
 
No comments:
Post a Comment